OPS LALANG 1987 BERULANG KEMBALI...






Pada bulan Oktober 1987, di bawah pemerintahan Perdana Menteri yang sama iaitu Dr Mahathir, seramai 106 pemimpin politik pembangkang telah ditangkap dan disumbat ke dalam penjara di bawah ISA.

31 tahun kemudian pada hari ini perkara yang sama berulang kembali. Sejak dua bulan kebelakangan ini sekurang-kurangnya enam orang pemimpin politik pembangkang telah dipanggil oleh Kerajaan untuk disoal siasat dan tiga daripada mereka telah disumbat ke dalam lokap termasuklah mantan Presiden UMNO Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO kini Dato’ Seri Dr Zahid Hamidi.

Dalam bulan-bulan akan datang ini dijangkakan lebih ramai lagi pemimpin politik pembangkang akan ditangkap dan ditahan oleh Kerajaan.

Sejarah penindasan politik ke atas pembangkang di Malaysia era tahun 80-90an kini berulang kembali di mana Kerajaan kini mahu melemahkan atau menghapuskan pembangkang dengan menekan, menindas dan menarik pembangkang untuk menyertai dan tunduk kepada telunjuk parti Kerajaan.

Sesiapa yang engkar akan dihapuskan atau disumbat ke dalam penjara.

Episod penangkapan pemimpin-pemimpin politik pembangkang oleh Kerajaan melalui SPRM pada bulan-bulan kebelakangan ini terang-terangan bukan untuk menghapuskan rasuah, namun ianya adalah untuk menghapuskan musuh politik.

Ianya adalah suatu penangkapan dan penindasan politik.

Sebab jika Kerajaan betul-betul adil dalam menegakkan undang-undang dan menghapuskan rasuah, maka mana mungkin tiada seorangpun pemimpin Kerajaan dari Pakatan Harapan yang disoal siasat dan ditangkap sejak pilihanraya walaupun umum tahu mereka terpalit dengan pelbagai isu rasuah semasa mentadbir di negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Adakah mereka-mereka ini kini telah suci murni setelah menang pilihanraya?

Malah seorang daripada mereka yang bertaraf menteri telah dibebaskan walaupun keterangan semua saksi belum habis didengar di mahkamah.

Sebaliknya ramai pemimpin pembangkang kini yang menjadi target dan ditangkap.

Jika pembangkang lemah atau dihapuskan maka akan wujud sistem satu parti di Malaysia iaitu Parti Kerajaan di bawah Pakatan Harapan tanpa pembangkang.

Apabila ini berlaku maka tidak akan ada semak imbang politik dan dasar di negara ini dan Kerajaan akan terus boleh mengkhianati rakyat tanpa timbal balas.

Mereka boleh terus menipu dan mungkir janji kepada rakyat kerana mereka tahu tiada pencabar yang kuat untuk menjatuhkan mereka dalam pilihanraya.

Dan Perdana Menteri boleh terus menjadi diktator dengan kuasa drakonian tanpa mempedulikan rakyat.

Kerajaan begini juga boleh menukar Perlembagaan dan menghapuskan institusi Raja-raja Melayu jika mereka mahu.

Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku. Sebab itu kita kena tentang mereka habis-habisan.

ISHAM JALIL




Source | http://pahang-ku.blogspot.com/2018/10/ops-lalang-1987-berulang-kembali.html

Most View Article This Month !