Keputusan pemilihan di Sabah hujung minggu lalu tidak termasuk keputusan di cabang-cabang Pensiangan, Keningau dan Tawau yang ditangguhkan.
Pemilihan di Keningau tergendala apabila calon Kartel (pemangku Ketua Cabang) memilih satu dewan kecil di sebelah rumah beliau yang hanya boleh memuatkan 20 orang pada satu-satu masa. Kawasan itu juga tidak mempunyai liputan telefon, apatah lagi liputan internet. Tujuannya jelas iaitu untuk menghalang pengundi calon lawan yang menyokong saya daripada mengundi.
Sabtu lepas, dianggarkan lebih dari 1,000 orang pengundi saya tidak dibenarkan mengundi di Keningau.
Keadaan yang sama berulang di Pensiangan. Sejak dari jam 8 pagi lagi, kehadiran telah mencecah ribuan dan menjelang tengahari, resit keanggotaan yang dikeluarkan (lengkap dengan nombor keanggotaan) telah mencecah sekitar 5,000 orang.
Malangnya, JPP hanya menyediakan 2 mesin kod QR kepada calon Raymond Ahuar yang membawa 5,000 orang pengundi; dan 2 lagi kepada lawannya yang hanya membawa sekitar 200 orang. Akibatnya, proses pengundian menjadi terlalu perlahan.
Sekitar jam 12 tengahari, liputan internet Celcom hilang. Semakan dengan Celcom menunjukkan talian gentian di stesen mereka di situ telah dipotong. Kes ini kini menjadi kes polis.
Sekali lagi proses undian di Pensiangan tergendala. Akibatnya, menjelang jam 5 petang, ada sekitar 3,000 orang yang berada di dalam kawasan dewan mengundi tetapi beratur berasak-asak untuk masuk mengundi.
Akibatnya, pengundian di Pensiangan juga tidak dapat diteruskan, seperti yang berlaku di Keningau sehari sebelum itu.
Kedua-dua cabang ini dianggarkan boleh memberi margin kemenangan mencecah 3,000 kepada saya, jika pengundian dibenarkan berjalan baik dan tidak disabotaj dengan pelbagai masalah (dewan seperti reban ayam, tiada internet, mesin kod QR dan tablet yang tidak mencukupi dan lain-lain).
Sebab itu, saya memohon supaya pendokong #Reformasi20Tahun yang telah berusaha sebaik mungkin setakat ini, untuk tidak gundah gulana walaupun digembar-gemburkan seolah-olah kita telah kalah di Sabah.
Sebenarnya, setakat keputusan rasmi setakat ini, saingan kita hanya mendahului di Sabah dengan kelebihan undi 1,611 sahaja. Tetapi kelebihan undi ini tidak termasuk cabang-cabang utama kita iaitu Pensiangan dan Keningau.
Kehadiran di Pensiangan dan Keningau pada hujung minggu yang lepas menunjukkan kemampuan pasukan kita menggerakkan sekurang-kurangnya 4,000 orang di kedua-dua cabang ini.
Oleh itu, saya menyeru supaya JPP dengan segera mengumumkan pengundian di cabang-cabang yang keputusannya digantung: Pensiangan, Keningau dan Tawau.
Saya juga mengingatkan JPP supaya tidak lagi mengulangi kesilapan yang berlaku minggu lagu, iaitu:
- Memilih tempat mengundi tanpa talian telefon dan terlalu kecil yang tidak masuk akal dengan jumlah pengundi yang ramai
- Tidak menyediakan mesin kod QR dan tablet yang mencukupi sedangkan JPP tahu cabang seperti Pensiangan sentiasa mengeluarkan ribuan anggota setiap pemilihan
Saya juga yakin cabang-cabang di Sarawak akan memberi saingan yang baik dan membantu #Reformasi20Tahun merapatkan jurang.
Saya menyeru supaya tiada tangan-tangan ghaib yang cuba menekan cabang-cabang besar yang bersama dengan #Reformasi20Tahun, seperti Cabang Julau.
Kita hanya ketinggalan 2,600+ undi setelah 185 cabang mengundi di seluruh negara.
Dengan undi dari Pensiangan, Keningau, Julau dan cabang-cabang lain, saya yakin kita berupaya menamatkan musim pemilihan kali ini dengan bergaya, asalkan JPP melaksanakan tugasnya dengan memastikan pengundian di cabang-cabang yang besar ini berjalan dengan lancar.
Rafizi Ramli
Source | https://pakat-pakatkalih.blogspot.com/2018/11/perbezaan-undi-2600-persaingan-terbuka.html
Most View Article This Month !