Dari jauh kelihatan seorang lelaki berusia awal 30-an menolak kerusi roda dan diiringi oleh seorang wanita. Seorang kanak-kanak lelaki kelihatan sedang duduk di atas kerusi roda tersebut. Kelihatan dia memegang erat lutut kirinya yang bertutup dengan sehelai kain batik.
“Assalamualaikum Encik. Saya Doktor Taufik. Kenapa dengan anak Encik ni ye?” Doktor Taufik yang bertugas pada malam itu bertanya.
“Lutut anak saya ni membengkak doktor, dah sebulan dah. Makin lama makin besar bengkak ni. Haziq ni dah terhincut-hincut dah berjalan sejak 3 hari lepas.” Haziq yang berusia 6 tahun membuka kain yang menutupi lututnya. Kelihatan bahagian lutut kanan Haziq membengkak.
“Haziq boleh bengkok kaki?” Doktor Taufik berkata lembut sambil melemparkan senyuman kepada Haziq. Haziq cuba membengkokkan lututnya. Dalam kepayahan, dia masih mampu membengkok dalam 90 darjah dan meluruskan lutut sepenuhnya.
Dr. Taufik berdebar cemas. Dia sedia maklum kemungkinan masalah yang dialami oleh kanak-kanak tersebut dan betapa beratnya perkara yang harus diberitakan kepada kedua ibu bapa muda yang sedang berdiri di depannya.
APAKAH ITU OSTEOSARCOMA?
Osteosarcoma adalah sejenis kanser tulang yang boleh terjadi pada sebarang usia namun ia adalah kanser tulang yang paling kerap berlaku dikalangan kanak-kanak.
Dari segi statistik, 1000 kes baru Osteoasarcoma didiagnos setiap tahun di Amerika Syarikat.
Ia berasal daripada sel mesenchymal di mana sel kanser ini menghasilkan sel tulang yang tidak matang dikenali sebagai Osteoid. Pemeriksaan mikroskopi sel kanser ini akan mengklasifikasikannya kepada 3 gred iaitu rendah (low grade), pertengahan (intermediate) dan gred tinggi (high grade) Osteosarcoma. Gred inilah yang menentukan betapa agresifnya kanser ini dan kebarangkalian ia akan merebak ke bahagian lain.
Berdasarkan gred ini, Osteosarcoma dapat dibahagikan pula kepada beberapa jenis termasuk:
High grade
- Osteoblastic osteosarcoma
- Chondroblastic
- Fibroblastic
- Small cell Osteosarcoma
- Telangiectatic Osteosarcoma
- High-grade surface (juxtacortical high grade)
- Pagetoid
- Extraskeletal
- Post radiation
Intermediate grade
1. Periosteal osteosarcoma (juxtacortical intermediate grade)
Lowgrade
- Parosteal osteosarcoma (juxtacortical low grade)
Punca dan Risiko
Punca sebenar Osteosarcoma masih belum diketahui namun terdapat beberapa faktor risiko yang dikaitkan dengan kanser ini.
- Umur: Ia kerap berlaku antara umur 10 ke 30 tahun dan selepas 60 tahun
- Jantina: Ia lebih kerap berlaku dikalangan lelaki
- Sejarah rawatan Radiasi
- Penyakit tulang seperti Paget Disease dan Fibrous dysplasia
- Sindrom kanser seperti Familial retinoblastoma dan LeFraumeni Syndrome
- Bone infarct atau kematian tulang
Simptom
Pesakit Osteosarcoma biasanya datang dengan kesakitan dan kebengkakan pada bahagian tulang yang terlibat. Bahagian yang kerap terjadi ialah pada tulang peha (femur), tulang betis (tibia), tulang lengan (humerus) dan tulang pinggul (pelvis).
Jika melibatkan tulang kaki, pesakit biasanya akan mengadu kesakitan semasa hendak berjalan dan mengalami kesukaran bagi membengkokkan sendi lutut.
Terdapat juga pesakit yang datang dengan kepatahan tulang secara tiba-tiba tanpa berlaku kemalangan yang serius (trivial injury). Selain daripada itu, pesakit Osteosarcoma juga mungkin akan mengalami susut berat badan dan kehilangan selera makan.
PEMERIKSAAN DAN DIAGNOSIS
Pemeriksaan bahagian yang terlibat kerap menunjukkan kebengkakan tulang dan kadangkala kemerahan pada kulit. Suhu kulit pada bahagian terlibat akan menjadi sedikit tinggi (suam) berbanding persekitaran atau jika dibandingkan dengan anggota lain. Jika bengkak menjadi semakin besar, pergerakkan sendi pesakit akan terbatas.
X-ray akan dilakukan bagi melihat keadaan tulang yang terlibat. Jika doktor merasakan ada kemungkinan ianya kanser, pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) akan dilakukan bagi melihat penglibatan struktur tulang, sumsum tulang (bone marrow), dan juga tisu di sekitar ketumbuhan tersebut termasuk tisu saraf dan salur darah.
Selain daripada itu, doktor akan mengambil darah bagi melihat bacaan enzim Alkaline phosphate (ALP) yang dapat memberikan gambaran mengenai betapa agresifnya kanser tersebut dan akan mengarahkan X-ray paru-paru dilakukan bagi memastikan tiada sel kanser yang telah merebak ke paru-paru. Keadaan ini dikenali sebagai lung metastasis.
RAWATAN
Rawatan Osteosarcoma terdiri daripada beberapa tahap seperti berikut:
- Staging: melibatkan X-ray tulang terbabit, CT scan paru-paru, abdomen dan pinggul (Thorax-Abdomen-Pelvis: TAP) dan MRI
- Grading (Biopsi): Pengambilan sebahagian daripada tisu kanser selepas MRI dilakukan bagi mengetahui jenis kanser tersebut
- Kemoterapi: Bergantung kepada jenis dan gred Osteosarcoma
- Pembedahan: limb-sparring surgery atau amputasi
Rawatan kanser ini bergantung kepada lokasi, saiz dan gred kanser tersebut berdasarkan biopsi serta sama ada kanser tersebut telah merebak atau tidak.
Limb-sparring surgery bermaksud pembedahan yang membuang sebahagian tulang dan tisu yang terlibat dengan kanser terbabit dan menggantikan tulang tersebut dengan implant.
Manakala amputasi pula adalah pembedahan yang melibatkan pemotongan anggota badan (kaki atau tangan) yang terlibat sekiranya kanser telah merebak dan anggota tersebut tidak dapat diselamatkan lagi.
Doktor Pakar akan berbincang dengan anda rawatan terbaik yang perlu dilakukan bagi merawat kondisi ini.
PROGNOSIS
Prognosis pesakit bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya:
- Umur
- Kesihatan keseluruhan pesakit
- Sama ada pesakit mempunyai masalah perubatan yang lain
- Stage dan Grade Osteosarcoma terbabit
- Bacaan darah Alkaline phosphatase (ALP) semasa diagnosis dilakukan
- Sekiranya kanser tersebut telah merebak atau tidak (metastasis)
- Jenis Osteosarcoma
Namun, antara faktor terbaik ialah dengan melihat sejauh mana kanser tersebut bertindakbalas terhadap kemoterapi yang diberikan sebelum pembedahan.
Statistik menunjukkan, pada kali pertama pesakit datang berjumpa doktor, 10-20 peratus pesakit Osteosarcoma gred tinggi telah pun mempunyai metastases kanser ke organ lain. Sekiranya pesakit mengikut rawatan yang dirancang, iaitu kemoterapi dan pembedahan, kadar hayat 5 tahun (5-year survival rate) adalah sekitar 95 peratus.
Buat pengetahuan pengamal perubatan, antara faktor-faktor yang menentukan kadar ini adalah:
- Kewujudan P-Glycoprotein
- Alkaline Phosphatase (ALP) yang tinggi
- Lactate Dehydrogenase (LDH) yang tinggi
- Penglibatan salur darah (vascular invasion)
- Tiada perubahan pada DNA ploidy selepas kemoterapi
- Ketiadaan anti-shock protein 90 antibodies selepas kemoterapi
Jika ada ahli keluarga anda yang mengalami bengkak tulang secara tiba-tiba, tanpa mengalami kejatuhan, hentakan atau kemalangan, saya nasihatkan anda segera ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan doktor. Kelewatan boleh membawa maut.
RUJUKAN
- Postgraduate Orthopaedics. Paul A. Banaszkiewicz. Cambridge University Press 2009; page 563
- Review of Orthopaedics, 5th Mark D. Miller. Saunders Elsevier. page 509
- https://www.cancer.org/cancer/osteosarcoma/about/what-is-osteosarcoma.html
- https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/osteosarcoma/symptoms-causes/syc-20351052
- https://orthoinfo.aaos.org/en/diseases–conditions/osteosarcoma/
Dr Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Beliau juga penasihat The Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Source | http://www.mmgazette.com/osteosarcoma-kanser-yang-digeruni-dr-ahmad-mahyuddin-mohamed/
Most View Article This Month !