BN kembalikan semula GST dengan kadar 3% dalam 'belanjawan bayangan' 2019

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) hari ini membentangkan Inisiatif Ekonomi Rakyat, satu 'belanjawan bayangan' 2019 yang antara lain mencadangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikembalikan pada kadar tiga peratus.

Bentang Belanjawan BN 2019

Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Kewangan Kabinet Bayangan BN, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun kadar GST ini lebih rendah berbanding enam peratus semasa pelaksanaannya, ia dijangka dapat mengutip hasil lebih tinggi berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang kini dilaksanakan.


"Daripada hasil kutipan sama dengan SST, cuma kita menjangkakan dapat meningkatkan hasil daripada mereka yang mengelak membayar SST. Jumlah sama, tetapi berdasarkan jumlah ketirisan SST, kita jangka dapat kutip hasil cukai lebih tinggi," katanya pada sesi taklimat inisiatif berkenaan di bangunan Parlimen, semalam.

Khairy Jamaluddin

Antara lain, anggota Parlimen Rembau itu berkata inisiatif berkenaan turut mencadangkan beberapa cukai baharu termasuk Cukai Soda pada kadar RM0.25 bagi setiap liter yang dijangka memberikan hasil RM360 juta setahun dan akan digunakan bagi Dana Kesihatan.

Selain itu, turut dicadangkan ialah Cukai Kekayaan terhadap individu yang mempunyai harta terkumpul tahunan melebih RM10 juta, dan Cukai Beg Plastik yang dijangka dapat mengutip RM1.46 bilion setahun menerusi kutipan RM0.15 daripada setiap RM0.20 caj ke atas pembelian beg plastik.

Ditanya mengenai peruntukan bagi menampung antara lain program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dicadang ditambah baik serta penyambungan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Khairy berkata ia tidak ada masalah untuk dilakukan.


"Kalau lihat kepada punca pendapatan dan hasil negara, kita akan dapat mengutip sekitar RM247 bilion, berdasarkan pendapatan baharu, cukai dan menyemak semula keutamaan perbelanjaan," katanya.

Katanya, inisiatif berkenaan yang dirangka berdasarkan input daripada jawatankuasa-jawatankuasa kabinet bayangan BN, mengambil kira falsafah ekonomi BN bagi tahun hadapan dengan menggariskan tiga teras iaitu merancakkan pembangunan, meningkatkan pengagihan dan kalis masa depan.

Inisiatif BN

"Ia dirangka dengan kesinambungan kejayaan negara terdahulu, bukan sahaja untuk tunjukkan satu belanjawan lebih baik tetapi dengan harapan ada idea baik yang boleh diguna pakai kerajaan Pakatan Harapan dalam Belanjawan 2019," katanya. - Bernama

Share artikel ini kepada rakan anda.
Sharing is Caring


Source | http://www.sayakata.com/2018/11/bn-kembalikan-semula-gst-dengan-kadar-3.html

Most View Article This Month !