PENAMBAHBAIKAN PROSES PEMILIHAN UNTUK CABANG PANDAN DAN CABANG-CABANG LAIN


26 Oktober 2018

Dato’ Rashid Din
Pengerusi
Jawatankuasa Pemilihan Pusat

Dr Syed Husin Ali
Pengerusi
Jawatankuasa Aduan dan Rayuan Pemilihan Pusat

PENAMBAHBAIKAN PROSES PEMILIHAN UNTUK CABANG PANDAN DAN CABANG-CABANG LAIN

Setelah proses pemilihan berlangsung hampir sebulan, ada banyak pengajaran yang boleh digunakan untuk memperbaiki lagi pengendalian di cabang-cabang yang akan datang.

Oleh kerana Cabang Pandan akan melalui proses pengundian pada hari Ahad, 28 Oktober 2018 ini dan ia cabang yang dijangka panas, saya mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan beberapa penambahbaikan yang boleh dilaksanakan segera.

Setakat 10 negeri proses pemilihan berjalan, pasukan saya telah mengenal pasti kelemahan-kelemahan berikut yang boleh menjadi risiko besar yang mencemarkan proses pengundian:

i. Pengeluaran kod QR berdasarkan nombor kad pengenalan yang dimasukkan ke dalam sistem, tanpa pengesahan individu yang hadir itu adalah benar-benar anggota:

Setakat ini, saya telah mendapat banyak aduan wujudnya pengundi-pengundi yang membawa 4-5 kad pengenalan dan mengundi bagi pihak orang lain. Modus operandi adalah dengan mengutip kad pengenalan ahli dan hadir mengundi.

Apabila ada collusion di pihak petugas yang mengeluarkan kod QR, individu yang telah disusun awal untuk membawa kad pengenalan ahli parti yang tidak hadir ini akan dibenarkan mengundi berkali-kali kerana kod QR dikeluarkan kepada mereka.

Saya telah berjumpa sendiri dengan satu kumpulan anak muda dari Kapar yang mengaku dibayar untuk melakukan perkara ini. Saya dalam proses untuk mendapatkan mereka membuat satu Akuan Berkanun mengenai perkara ini.

ii. Pengeluaran kod QR dibuat lebih awal dan diedarkan lebih awal, untuk membolehkan seorang anggota yang masuk mengundi 4-5 kali dengan membawa kod QR yang telah dicetak lebih awal

Bersama-sama ini saya sertakan satu gambar yang kini bocor kepada anggota-anggota KEADILAN Pandan, iaitu kod QR untuk anggota Pandan telah pun dicetak awal untuk diedarkan kepada anggota lain yang akan hadir.

Dengan cara ini, seorang anggota boleh mengundi untuk 4-5 orang anggota lain.

Kod QR untuk anggota yang bernama Danial bin Din ini dicetak pada 24 Oktober 2018.

iii. Pengawas yang berat sebelah atau tidak berani menguatkuasakan peraturan

Bantahan mengenai tindakan pengawas terus berlaku setiap minggu. Di cabang-cabang yang panas seperti Pandan, meletakkan Ketua Pengawas, petugas kod QR dan pengawas-pengawas yang benar-benar bebas dan adil adalah sangat penting.

Mengambil kira dua perkara di atas, saya memohon supaya penambahbaikan ini dapat dilaksanakan bagi pemilihan akan datang, terutamanya di Pandan (pada hari Ahad, 28 Oktober 2018 ini):

i. Kod QR yang dikeluarkan tanpa kehadiran pengundi sebenar:

Supaya JPP menggunakan mesin pembaca kad pengenalan (IC Reader) untuk mengesahkan bahawa pengundi yang datang dengan kad pengenalan adalah ahli yang sah.

Saya difahamkan JPP sudah pun mempunyai lebih dari 100 mesin pembaca kad pengenalan dan penggunaannya telah dicuba di pemilihan Cabang Jasin.

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya mesin pembaca kad pengenalan juga digunakan di Cabang Pandan dan cabang-cabang lain untuk mengurangkan risiko penipuan yang berlaku.

ii. Kod QR yang dicetak lebih awal untuk diberikan kepada pengundi yang akan hadir dan boleh mengundi 4-5 kali bagi pihak orang lain:

Supaya JPP memastikan sistem e-voting hanya membenarkan kod QR yang dicetak pada hari pengundian yang boleh diimbas oleh tablet untuk digunakan bagi membuka kertas undi elektronik.

Saya pasti sistem e-voting boleh diperketatkan untuk mengelakkan kod QR yang dicetak lebih awal dibenarkan mengundi.

iii. Bantahan mengenai pengawas:

Supaya JPP memaklumkan dahulu senarai pengawas untuk disemak dan mengelakkan berlakunya pengawas-pengawas yang berat sebelah ditugaskan di cabang-cabang lawan

Saya berharap perkara-perkara ini diambil serius, terutamanya yang melibatkan kod QR yang telah dicetak terlebih awal.

Saya menunggu jawapan rasmi dari pihak JPP mengenai aduan-aduan ini dan cadangan penambahbaikan.

Wassalam.

Yang benar

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden

Salinan Kepada:

1. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden

2. Yang Berbahagia Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Bakal Presiden

3. Yang Berhormat Dato’ Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung


Source | https://pakat-pakatkalih.blogspot.com/2018/10/penambahbaikan-proses-pemilihan-untuk.html

Most View Article This Month !