Penulis teringat Ucapan Tan Sri Musa Aman pada 15 Januari 2018 dalam satu Majlis Perhimpunan Perdana Kakitangan Awam Negeri dan Persekutuan "Apabila saya mula-mula menyertai politik, kita melihat Sabah perlu membangun dalam beberapa perkara, paling mustahak adalah pembangunan modal insan, pembinaan keupayaan, penambahbaikan ketirisan ekonomi, pewujudan industri baru serta pemberian nilai tambah, dan yang paling penting ialah pelaksanaan tadbir urus dan sistem penyampaian yang baik supaya rakyat dapat maju dengan sistematik. Ini adalah pandangan saya, tanpa menafikan kemajuan yang telah dicapai oleh para pemimpin terdahulu".
Justeru, setelah menjadi Ketua Menteri pada tahun 2003, kita mahukan Sabah mempunyai halatuju, matlamat dan model ekonomi yang baru agar negeri kita dapat bersaing di peringkat nasional dan serantau.
Selepas membuat kajian dan penelitian lebih mendalam, kita memperkenalkan satu pelan induk iaitu ‘Halatuju’ yang merangkumi sektor-sektor teras yang mempunyai daya saing signifikan iaitu Pelancongan, Pertanian dan Pembuatan serta Pembangunan Modal Insan.
Sektor Pelancongan menempati urutan pertama kerana keterkaitannya dengan Sabah yang dikurniakan dengan keindahan alam semula jadi serta kaya dengan khazanah budaya.
Keindahan alam semula jadi tidak terlepas dengan khazanah hutan. Salah satu pencapaian besar dalam usaha pemuliharaan hutan di Sabah adalah dengan mewujudkan kawasan perlindungan yang menempatkan populasi Orang Utan terbesar serta kepelbagaian hidupan liar lain, di Hutan Rizab Ulu Segama dan Malua. Selepas hampir 60 tahun pembalakan dilakukan secara berterusan, ia telah dihentikan pada akhir tahun 2007, sebagai mesej yang jelas dan tegas mengenai komitmen dan kesungguhan Sabah dalam pemuliharaan khazanah alam sekitar.
Untuk mendokong pemuliharaan hutan maka pada tahun 2007 pembalakan dihentikan di Ulu Segama, Malua dan Kalumpang walaupun membawa kepada pengurangan sekurang-kurangnya RM1 bilion dalam royalti balak kepada kerajaan.
Langkah ini membolehkan seluas Dua Ratus Empat Puluh Ribu (240,000) hektar diletakkan di bawah Pengurusan Hutan Lestari, untuk pemuliharaan habitat Orang Utan yang merupakan sebahagian daripada kawasan ‘Heart of Borneo’, yang kaya dengan khazanah kepelbagaian biodiversitinya.
Sabah telah mengwujudkan hutan yang terpelihara dan produktif di kawasan rizab hutan ini dan di kawasan hutan yang lain dengan rancangan pengurusan tersendiri. Di kawasan hutan yang tidak dilindungi sepenuhnya, pengambilan kayu dibuat secara mampan dan melindungi kawasan konservasi hutan yang bernilai tinggi, termasuklah kawasan tadahan air.
Melalui Pengurusan Hutan Secara Mampan (SFM), 53 peratus daripada keluasan negeri Sabah atau 3.9 juta hektar tanah negeri telah diletakkan sebagai Rizab Hutan, Kawasan Perlindungan dan Kawasan Pemuliharaan Hidupan Liar. Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan 30 peratus daripada jumlah tanah atau kawasan seluas 2.2 juta hektar sebagai Kawasan Perlindungan Hutan Sepenuhnya (Totally Protect Area), yang kita harapkan dapat dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang atau lebih awal dari itu. Peratusan ini melebihi sasaran 10% yang ditetapkan Kesatuan Antarabangsa untuk Konservasi Alam Semulajadi (IUCN).
Selian itu Sabahjuga telah berjaya memulihkan dan menanam semula hutan seluas lebih Enam Ratus Ribu (600,000) hektar, yang mungkin merupakan usaha terbesar seumpamanya yang dilaksanakan di kawasan Tropika.
Kerajaan Negeri Sabah dibawah pentadbiran lalu telah dan akan terus mempromosikan Sabah sebagai pusat penyelidikan hutan hujan tropika yang melibatkan organisasi penyelidikan antarabangsa yang terkenal seperti The Royal Society of United Kingdom, The Nature Conservancy of the United States, Yayasan Sime Darby, Abraham Foundation, WWF-Malaysia IKEA, PETRONAS serta institusi pengajian tinggi tempatan.
Penulis juga teringat pesanan Tan Sri Musa pada majlis itu, bahawa semua pihak tanpa melihat latar belakang politik perlu menyokong, mempertahankan, memperbanyakkan dan memperkayakan lagi kawasan hutan kita dengan pelbagai spesies kayu yang bernilai tinggi. Menjadi suatu penyesalan jika kita meninggalkan kawasan tanah yang tandus atau ‘padang jarak padang tekukur’, untuk generasi yang akan datang.
Namun, pesanan Musa itu, nampaknya akan hanya menjadi catitan sejarah, kerana pihak-pihak tertentu di negeri ini, khususnya tindakan Kerajaan Sementara Sabah, nampaknya akan memusnahkan khazanah hutan Sabah, termasuk bercadang menjarah Lembah Danum, kerana semata-mata untuk tujuan jangka pendek mendapatkan kewangan untuk negeri.
Source | https://musramrakunman.blogspot.com/2018/10/menjelang-26-oktober-ditinjau-sumbangan.html
Most View Article This Month !