Golongan mahasiswa perlu dididik dengan kerangka sosial yang dipersetujui semua kaum dalam pembentukan negara, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Baginda bertitah perkara itu penting memandangkan golongan tersebut merupakan pewaris tamadun negara dan kerangka sosial adalah asas yang membentuk perpaduan Malaysia.
"... ini termasuklah kedudukan agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu yang ditabalkan dengan penuh kemuliaan. Kita seharusnya menghormati apa yang digariskan dalam Perlembagaan.
"Kerangka sosial ini yang membentuk perpaduan dan persefahaman rakyat sehingga akhirnya membawa kepada pembinaan sebuah negara dan tamadun yang unggul," titah baginda.
Tengku Abdullah yang juga Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) bertitah demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Konvokesyen UMP ke-13 di Kampus Gambang di sini semalam, melibatkan 2,773 graduan.
Turut hadir Naib Canselor UMP Profesor Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim.
Tengku Abdullah juga mengingatkan pentadbiran UMP untuk sensitif dan akur dengan perubahan semasa negara dan memberi perhatian serius kepada penyesuaian hala tuju strategik dengan dasar baharu kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan.
"Penyesuaian strategik tersebut hendaklah juga mengutamakan aspek ketelusan urus tadbir berpaksikan integriti, akauntibiliti dan etika kerja yang tinggi.
"Saya juga melihat aspirasi Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan sistem pendidikan yang bersendikan budaya kegembiraan, kebahagiaan, kasih sayang dan hormat-menghormati adalah amat tepat pada masanya," titah baginda.
Selaku Canselor UMP selama 12 tahun, Tengku Abdullah menzahirkan rasa sukacita dengan perkembangan universiti itu yang kini antara universiti teknikal terbaik negara dan berjaya melahirkan 22,427 graduan sejak tahun 2006.
Sehubungan itu, baginda berharap UMP dapat merangka pelan tindakan komprehensif dalam memastikan alumninya khususnya yang menjawat kanan untuk kembali menyumbang kepada universiti.
Titah baginda, antara usaha yang boleh dilakukan adalah memberikan perhatian khusus kepada inisiatif 'Industry Network Alumni Platform' yang berperanan sebagai medium interaksi strategik universiti dengan alumni.
"Perkara ini merupakan peluang keemasan yang signifikan terhadap jaringan strategik dan profesional universiti yang penting dalam konteks penjenamaan universiti, kemajuan mahasiswa, pengembangan penyelidikan dan pengimarahan ekosistem wakaf universiti," titah baginda.
Tengku Abdullah seterusnya bertitah menasihatkan graduan yang menerima ijazah hari ini, untuk bersaing dalam dunia pekerjaan tanpa mengamalkan hasad dengki atau budaya fitnah untuk mencapai kejayaan.
Titah baginda lagi, kejayaan perlu diburu dengan jujur dan ikhlas dengan semangat percaya kepada diri dan mereka yang berkebolehan, berkualiti serta berkemahiran pastinya akan memperoleh kejayaan.
Source | http://pahang-ku.blogspot.com/2018/11/kuantan-didik-mahasiswa-dengan-kerangka.html
Most View Article This Month !