Kenyataan Akhbar KPK 5 November 2018 – RM300 Ribu Produk Campurpalsu Dengan Racun dan Tidak Berdaftar Dirampas

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah menjalankan serbuan pada 1 November 2018 ke atas 8 buah premis pengedar dan penjual yang terletak di Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu kerana disyaki menjual produk tidak berdaftar dan dicampurpalsu dengan racun Sildenafil dan Tadalafil.

Serbuan dijalankan berikutan aduan awam mengenai penjualan produk tersebut secara dalam talian. Hasil analisa kimia yang dijalankan terhadap 2 sampel yang diperolehi di pasaran telah dikesan mengandungi racun seperti berikut:

Screen Shot 2018-11-05 at 4.31.03 PM

Selain itu, turut ditemui ialah produk yang disyaki tidak berdaftar dengan KKM iaitu Gambir Emas Performance Gel dengan Estrak Ginseng, Gambir Emas Performance Gel, G.E Herbs Performance Oil dan Kama-Max Performance Spray. Kesemua produk yang dianggarkan bernilai RM 300,000 telah dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.

Di bawah Akta Jualan Dadah 1952, jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu. Bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000. Manakala bagi produk yang dicampurpalsu dengan racun, jika sabit kesalahan, individu/syarikat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM menasihatkan orang ramai yang mempunyai stok produk ini untuk menghentikan dengan SERTA MERTA semua penjualan, pengedaran atau penggunaannya. Sildenafil dan Tadalafil merupakan sejenis racun kumpulan B yang hanya boleh digunakan melalui preskripsi oleh pengamal perubatan berdaftar. Apabila diambil tanpa nasihat profesional kesihatan, boleh mengakibatkan kesan sampingan yang serius seperti serangan jantung yang boleh membawa maut.

pastikan semak sebelum klik

Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk-produk kesihatan yang dibeli di pasaran adalah produk yang berdaftar dengan KKM.

Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari http://www.npra.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui Play Store.

Orang ramai juga digalakkan untuk mengemukakan aduan berkenaan produk kesihatan kepada pihak BPF, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

5 November 2018

 

Screen Shot 2018-11-05 at 4.32.45 PMScreen Shot 2018-11-05 at 4.33.10 PMScreen Shot 2018-11-05 at 4.33.28 PMScreen Shot 2018-11-05 at 4.33.38 PMScreen Shot 2018-11-05 at 4.33.47 PMScreen Shot 2018-11-05 at 4.33.56 PM



Source | https://kpkesihatan.com/2018/11/05/kenyataan-akhbar-kpk-5-november-2018-rm300-ribu-produk-campurpalsu-dengan-racun-dan-tidak-berdaftar-dirampas/

Most View Article This Month !