Kesihatan seksual merupakan antara salah satu kunci kebahagian setiap pasangan. Jika tidak dirawat atau dititikberatkan, ianya boleh menyebabkan ketidaksefahaman dan perbalahan di dalam perhubungan. Ejakulasi awal atau ejakulasi pramatang merujuk kepada keaadaan di mana ejakulasi berlaku terlalu awal ketika melakukan hubungan kelamin dengan pasangan. Secara umumnya, masyarakat menyebutnya sebagai “pancut awal”. Ianya jarang dibincangkan oleh pesakit berbanding masalah mati pucuk. Sesetengah pihak doktor juga jarang membangkitkan isu ini berbanding masalah ketidakupayaan ejakulasi itu sendiri. Justeru, mari kita kenali lebih lanjut berkenaan ejakulasi pramatang.
Apa itu ejakulasi pramatang?
Ejakulasi awal merujuk kepada keadaan di mana pancutan air mani dari zakar atau proses ejakulasi berlaku sebelum penetrasi zakar ke dalam faraj atau dalam masa tempoh seminit penetrasi berlaku. Ia juga merujuk kepada ketidakupayaan untuk melewatkan ejakulasi dalam apa keadaan sekali pun dan mengakibatkan keresahan dan ketidakpuasan kepada kedua-dua pasangan atau salah seorang dari mereka dalam melakukan hubungan kelamin.
Adakah ianya sering berlaku?
Ianya merupakan keadaan yang kerap berlaku. Masalah berkaitan ejakulasi awal kini terjadi kepada hampir tiga dalam setiap sepuluh orang individu lelaki. Daripada jumlah ini, satu pertiga dari mereka juga mengalami masalah mati pucuk. Namun, hanya sedikit daripada mereka yang hadir ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Siapa yang sering mengalami ejakulasi awal?
Penyakit ini lebih terjadi di kalangan pemuda Asia berbanding negara lain. Ini mungkin dipengaruhi oleh adat resam dan budaya di negara Asia yang boleh meningkatkan keadaan tekanan akibat ejakulasi awal. Ianya juga sering diadu oleh mereka yang lebih muda berbanding individu yang lebih berusia.
Apakah antara risiko mendapat ejakulasi paramatang?
Tidak seperti penyakit mati pucuk yang mana punca-puncanya lebih jelas; masalah ejakulasi pramatang secara umumunya tidak mempunyai faktor yang jelas boleh mengakibatkan masalah ejakulasi awal. Namun ianya lebih dikaitkan dengan faktor psikologi yang meningkatkan tekanan seseorang seperti kerisauan yang melampau dan kemurungan, rasa rendah diri yang keterlaluan mahupun kesan daripada memori buruk ketika zaman kanak-kanak seperti serangan seksual dan penderaan. Ianya juga boleh diakibatkan oleh faktor dari pihak pasangan seperti pasangan berasa takut atau sakit ketika melakukan hubungan seks. Ini juga boleh diakibatkan oleh pengalaman hubungan kelamin yang menyakitkan dengan pasangan terdahulu atau akibat pernah mengalami gangguan seksual. Manakala keadaan ejakulasi awal sejak dari usia yang sangat muda ada dikaitkan dengan faktor keturunan. Ianya juga dikaitkan dengan keadaan zakar yang terlalu sensitif pada sentuhan ketika dalam hubungan kelamin.
Apakah kesan akibat mengalami ejakulasi pramatang?
Ejakulasi awal boleh menyumbang kepada masalah ketidaksuburan akibat air mani tidak dapat memasuki faraj secara optima lalu mengakibatkan kesukaran mendapatkan zuriat. Ianya juga secara berterusan akan menambahkan lagi rasa bersalah dan rendah diri pesakit yang mana akan menjadikan keadaan berterusan menjadi teruk dan terus berkitar tanpa penyelesaian.
Apakah rawatan untuk ejakulasi pramatang?
Oleh kerana antara punca utama yang dikaitkan dengan ejakulasi pramatang adalah masalah psikologi dan tekanan, ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan kemurungan dan kerisauan terbukti mampu untuk membantu pesakit-pesakit ini. Kaunseling untuk mengawal emosi dan tekanan juga mampu mengurangkan gejala ejakulasi awal ini. Rawatan seperti sapuan ubatan bius setempat juga ada menunjukkan keberkesanan bagi pesakit ini. Namun, apa yang lebih penting adalah kesefahaman di kalangan pasangan agar mampu membantu pesakit untuk meningkatkan keyakinan diri dalam melakukan hubungan kelamin.
Untuk mereka yang mengalami masalah ejakulasi pramatang berserta dengan mati pucuk, rawatan terhadap mati pucuk haruslah diberikan terlebih dahulu.
Apa yang perlu dilakukan jika mengalami gejala ejakulasi pramatang?
Pihak pesakit boleh berjumpa dengan pihak doktor di klinik-klinik kesihatan dan klinik swasta berdekatan. Rawatan kesihatan lelaki sememangnya ada terdapat di klinik tanpa pesakit perlu berasa khuatir untuk mendapatkan bantuan.
Secara kesimpulannya, penyakit ejakulasi pramatang adalah antara penyakit yang umum di kalangan lelaki namun jarang diperkatakan. Pesakit harus berfikiran terbuka dan datang mendapatkan pandangan dan rawatan yang tepat daripada pihak doktor. Rawatan ejakulasi pramatang tidak hanya bergantung pada ubat-ubatan, tetapi juga pada komunikasi yang baik dan berkesan sesama pasangan itu sendiri.
Dr Shaiful Ehsan merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan klinik kesihatan di Kuantan. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau. Artikel ini ditulis sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki.
Rujukan:
- (2007). “Potential New Treatment for Premature Ejaculation.” American Family Physician 75(4): 555-556.
- Deem, S. G. (2018). “Premature Ejaculation Guidelines.” Medscape.
- Glenn R Cunningham, R. C. R. (2018). “Overview of Male Sexual Dysfunction.” UpToDate.
- Mohit Khera, G. R. C. (2018). “Treatment of Male Sexual Dysfunction.” UpToDate.
- Murtagh, J. (2014). John Murtagh General Practice 5th Edition, Mc Graw Hill Education.
- Ted D. Epperly, K. E. M. (2000). “Health Issues in Men: Part I. Common Genitourinary Disorders.” American Family Physician 61(12): 3657-3664.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Source | http://www.mmgazette.com/ejakulasi-awal-masalah-kesihatan-lelaki-dr-shaiful-ehsan/
Most View Article This Month !