ALASAN JHO LOW PUNCA JANJI PTPTN TIDAK DILAKSANA "KELAKAR DAN TAK MASUK AKAL"






Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan tindakan Kerajaan PH menjadikan Jho Low penyebab kegagalan mereka menunaikan janji memulakan bayaran balik di tangga gaji RM4000 adalah suatu yang “kelakar dan tidak masuk akal “.

Jelasnya hanya mereka yang menyokong PH secara membuta tuli sahaja yang percaya namun tidak bagi rakyat yang cerdik.


“Saya bekas Pengerusi PTPTN. Saya tahu kenapa ianya sukar dilaksana. Jawapannya ada pada PTPTN. Jadi rujuklah kepada Pengurusan PTPTN, keadaan sebenar.

“Dan apabila memberikan jawapan sebegini rakyat pasti merasa malu mempunyai seorang Menteri Kewangan yang suka membuat kenyataan tanpa asas. Bahayanya ialah, pelbagai pihak boleh hilang keyakinan pada Menteri Kewangan. Maka kesannya tentulah rakyat”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau jika alasannya masalah fiskal, mungkin ini bolehlah diterima namun isu fiskal adalah akibat ketidakcekapan pengurusan ekonomi Kerajaan PH sendiri.

Persoalannya sebagai Menteri Kewangan apakah Lim Guan Eng (LGE) tidak tahu mengenai kewangan PTPTN ?

“Sangat malang kalau beliau tidak memahaminya kerana aliran kewangan PTPTN juga mempengaruhi kewangan negara. Kemudian apakah LGE memang tidak tahu atau sengaja tidak mahu tahu dari mana punca dana PTPTN yang digunakan untuk diberikan kepada pelajar ?

“Sepatutnya Menteri Pendidikan atau Pengerusi PTPTN memberikan maklumat jelas kepada Menteri Kewangan berkaitan kewangan PTPTN agar kenyataan yang tidak berasas tidak dikeluarkan. Atau mungkin juga Menteri dan Pengerusi yang menjaga PTPTN juga tidak memahaminya”, ujar beliau.

Hakikatnya tegas Shamsul kewangan PTPTN tidak ada kaitan dengan Jho Low dan ianya mainan persepsi yang tidak berkesudahan oleh LGE.

“Saya ingin nyatakan bahawa dalam setahun, PTPTN memerlukan antara RM3 – RM4 Bilion untuk memastikan aliran kewangannya berjalan dengan baik.

“Dana ini penting untuk diberikan pinjaman kepada kira-kira 200 ribu pelajar baru yang melanjutkan pelajaran ke pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi ( IPT ) dan sekitar 600 ribu pelajar sediada di IPT dan juga perlu untuk membayar balik pinjaman PTPTN dari mana mana institusi kewangan mengikut tempoh sepatutnya”, jelas beliau.

Maknanya kata Shamsul sumber kewangan PTPTN adalah pinjaman PTPTN dari institusi kewangan dan terbitan SUKUK yang dijamin kerajaan, di samping bayaran balik daripada peminjam.

Tambahnya sejak 2003 PTPTN tidak lagi mendapat geran kerajaan malah sejak ditubuh hanya sekitar RM5.2 Bilion saja geran itupun sudah begitu lama.

“Macamana LGE boleh kaitan Jho Low sebagai punca ? Bukankah ini tidak masuk akal ?

“Saya rasional dalam soal ini, maka diakui bahawa melaksanakan potongan gaji baik kepada PTPTN kerana ia menstabilkan aliran kewangan PTPTN. Persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat ialah berkaitan janji Kerajaan PH yang tidak ditunaikan, iaitu memulakan bayaran balik ditangga gaji RM4000. Ini yang dipersoalkan”, katanya.

Secara konsisten beliau nyatakan bahawa polisi bayaran balik ditangga gaji RM4000 hanya menguntungkan mereka yang telah mendapat pinjaman sebaliknya merugikan pelajar sediada di IPT, pelajar baru dan pelbagai pihak lain.

“Malah kewangan PTPTN akan terjejas teruk jika ianya dilaksanakan. Inilah antara alasan sebenar pada saya kenapa janji ini gagal dilaksanakan oleh Kerajaan PH.

“Kita boleh lihat kutipan tahun ini sehingga September 2018, saya difahamkan mengalami penurunan dan difahamkan hanya sekitar RM2.1 Bilion berbanding tempoh yang sama iaitu RM2.2 Bilion September 2016 dan RM3.1 Bilion September 2017.

“Ini juga berpunca dasar baru pemutihan sekatan imegresin dan saya berkeyakinan keadaannya akan lebih parah jika dasar memulakan bayaran balik bermula gaji RM4000 dilaksanakan”, ujarnya.


Keadaan ini jelas beliau lagi menyebabkan PTPTN dijangka sukar mengutip melebihi RM3 Bilion tahun ini kecuali sesuatu yang luar biasa berlaku.

Ini kerana tambahnya kutipan keseluruhan tahun 2016 ialah RM3.4 Bilion dan RM3.9 Bilion pada 2017 lalu.

“Saya boleh mengesahkan PTPTN mempunyai tahap prefosional , kecekapan dan keupayaan sendiri dalam membuat kutipan kerana di zaman Kerajaan BN PTPTN telah melangkah jauh kehadapan.

“Urusannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, boleh dilaksanakan melalui hujung jari dan tidak perlu lagi kekuanter kecuali atas urusan tertentu. Namun, antara halangan besar untuk melaksanakan kutipan balik bermula gaji RM4000 ialah soal data terkini peminjam”, katanya.

Bagaimanapun tegas Shamsul, kenyataan Pengerusi PTPTN baru-baru ini dengan mengatakan pengurusan data PTPTN lemah adalah tidak tepat.

“Kalau datanya lemah bagaimana PTPTN boleh menguruskan akaun peminjam yang berjumlah lebih 2.8 juta orang tidak termasuk akaun simpanan. Malah urusan PTPTN sewaktu Kerajaan BN telah boleh dilakukan melalui online. Semua ini hasil penambahbaik dan kecekapan pengususan PTPTN sejak Kerajaan BN lagi.

“Apa yang saya maksudkan data tidak lengkap ialah data terkini “pekerjaan” peminjam. Data ini sukar diperolehi. Jika dilaksana dasar mula bayar ditangga gaji RM4000 di ketika data tidak lengkap, ialah kemungkinan ramai yang mengaku bahawa gaji mereka masih di bawah paras RM4000 kecuali mereka yang mempunyai penyata gaji. Maka, masalah pasti akan timbul”, ujarnya.

Justeru jelas beliau lagi, selain mengambil masa menyediakan data berkenaan, dan ramai yang tidak akan membuat bayaran balik, pasti akan berlaku pula, peminjam yang sebelum ini membuat bayaran balik, akan menghentikan bayaran balik kerena mahu juga membayar selepas tangga gaji RM4000 sebulan.

“Ini akan menambahkan jumlah peminjam yang tidak membayar hutang. Keadaan ini akan memberikan kesan besar pada kewangan PTPTN dan kutipan boleh menurun secara mendadak kerana ramai peminjam tidak akan membayar pinjaman.

“Maka, jika kutipan rendah masalah besar akan berlaku kepada PTPTN. Sedangkan sebelum ini, melalui pelbagai kempen *#bolehbincang* dan inisiatif Kerajaan BN lakukan, PTPTN sebenarnya telah berjaya menurunkan jumlah mereka yang tidak membayar hutang”, katanya.

Tambah beliau sehingga 30 September 2017, terdapat hanya seramai 410,500 peminjam PTPTN tidak pernah membuat sebarang bayaran balik dengan tunggakan sebanyak RM2.79 bilion.

“Jumlah ini menurun jika dibandingkan sebelum ini. Saya yakin jika polisi baru ini dilakukan akan berlaku semula peningkatan yang mendadak jumlah mereka yang tidak membayar pinjaman dan ini dengan sendirinya mengagalkan usaha murni yang telah bertahun tahun PTPTN lakukan.

“Bila kutipan bayaran balik menjadi rendah? Kesan besar ialah PTPTN akan menghadapi masalah aliran pusingan kewangannya. Akhirnya PTPTN terpaksa terus meningkatkan pinjamannya daripada institisi kewangan menyebabkan PTPTN secara berterusan bergantung pada institusi kewangan”, ujarnya.

Justeru tegasnya memberikan alasan Jho Low adalah sangat tidak munasabah.

Seterusnya beliau melemparkan soalan kenapa LGE tidak menyatakan alasan yang tepat dan suka berbohong ?

Sumber



Source | http://pahang-ku.blogspot.com/2018/11/alasan-jho-low-punca-janji-ptptn-tidak.html

Most View Article This Month !