Kenyataan Akhbar KPK 26 Oktober 2018 – Penutupan Sekolah Akibat Kluster Beguk (Mumps) di Selangor

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum tentang laporan oleh beberapa portal berita atas talian berkenaan penutupan dua buah sekolah di Kajang dan Gombak akibat kluster beguk (mumps) dan kenyataan media oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 25 Oktober 2018.

Pihak KKM ingin memaklumkan bahawa, kejadian kluster beguk di kalangan pelajar di sebuah sekolah di Kajang telah dilaporkan pada 14 Ogos 2018. Tindakan kawalan dan pencegahan telah dijalankan termasuk pengasingan pelajar dan pendidikan kesihatan sejak kluster ini dilaporkan. Namun begitu, masih berlaku penularan jangkitan akibat pergaulan pelajar yang berterusan, walaupun arahan pengasingan kes telah diberikan. Penutupan sekolah dari 23 Oktober 2018 hingga 9 November 2018 adalah sebagai salah satu langkah memutuskan rangkaian jangkitan beguk. Manakala pelaporan kejadian sama di sebuah sekolah di Gombak pula diterima pada 16 Oktober 2018 dan sekolah ditutup dari 24 Oktober 2018 hingga 6 November 2018 untuk tujuan yang sama. Semua pelajar yang terlibat dari kedua – dua sekolah ini berada dalam keadaan stabil dan telah mendapatkan rawatan.

Penyakit beguk disebabkan oleh jangkitan virus Paramyxovirus. Pesakit akan mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar parotid (kelenjar air liur). Jangkitan boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar dengannya. Pesakit biasanya akan sembuh sepenuhnya selepas dua (2) hingga tiga (3) minggu. Komplikasi beguk seperti jangkitan testis, telinga, otak dan ovari adalah sangat jarang berlaku.

Beguk

Sehingga 20 Oktober 2018, sebanyak 75 kluster beguk telah dilaporkan di seluruh Malaysia berbanding sebanyak 64 kluster bagi tempoh yang sama pada tahun 2017. Dari jumlah 75 kluster dilaporkan tersebut, sebanyak 59 kluster (78.7%) berlaku di sekolah. Oleh kerana tempoh keboleh-jangkitan beguk yang panjang iaitu bermula sebelum sebarang tanda dan gejala timbul, ia menyebabkan sukar mengesan kes pada peringkat awal rebakan jangkitan. Pergaulan di antara murid semasa di sekolah pula memudahkan jangkitan tersebar.

Pemberian imunisasi terhadap beguk akan memberi perlindungan terhadap jangkitan dan mengurangkan risiko dijangkiti penyakit ini atau bila dijangkiti gejala jangkitan adalah ringan. Imunisasi beguk di Malaysia bermula sejak tahun 2002 dan ia terdapat dalam vaksin tiga (3) serangkai Measles-Mumps-Rubella (MMR).

Screen Shot 2018-08-31 at 09.44.08

KKM ingin menasihati murid-murid yang mempunyai gejala beguk untuk tidak hadir ke sekolah untuk mengelakkan jangkitan kepada rakan-rakan sepersekolahan. Orang ramai yang mengalami gejala dan tanda-tanda beguk pula diminta untuk mendapatkan nasihat doktor; dan sentiasa menjaga kebersihan diri serta mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul bagi mengelakkan penularan penyakit ini.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

26 Oktober 2018



Source | https://kpkesihatan.com/2018/10/26/kenyataan-akhbar-kpk-26-oktober-2018-penutupan-sekolah-akibat-kluster-beguk-mumps-di-selangor/

Most View Article This Month !