Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum berkenaan artikel yang dikeluarkan oleh portal berita The Star Online bertajuk ‘Government urged to replenish as Hepatitis C medicines stock in government hospitals run out’ yang bertarikh 24 Oktober 2018 dan ‘Hep C patient left in the lurch’ bertarikh 25 Oktober 2018.
Sebagai makluman, rawatan terkini penyakit Hepatitis C ini adalah kombinasi dua jenis ubat iaitu Direct Acting Antivirals (DAAs) Tablet Sofosbuvir 400mg dan Tablet Daclatasvir 60mg.
Stok semasa Tablet Sofosbuvir 400mg adalah mencukupi untuk semua pesakit manakala stok Tablet Daclastavir 60mg adalah terhad buat masa ini. KKM telah mengambil langkah untuk mengagihkan semula stok ke hospital-hospital yang memerlukan bagi memastikan kesinambungan bekalan ubat kepada semua pesakit.
Bekalan stok Tablet Daclastavir 60mg dijangka akan tiba pada minggu pertama November 2018 untuk merawat pesakit baru yang memulakan rawatan. Sementara itu, bekalan ubat untuk pesakit yang telah menerima rawatan adalah mencukupi.
KKM memberi jaminan akan meneruskan rawatan bagi penyakit Hepatitis C dan sentiasa proaktif untuk memastikan pesakit sentiasa mendapat rawatan yang sewajarnya selaras dengan sasaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membasmi penyakit Hepatitis C menjelang 2030.
Sekian, terima kasih
Datuk Dr Noor Hisham Bin Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
25 Oktober 2018
Source | https://kpkesihatan.com/2018/10/25/kenyataan-akhbar-kpk-25-oktober-2018-isu-bekalan-ubat-hepatitis-c-kepada-pesakit/
Most View Article This Month !